SABAH BOLEH BUAT SIDANG DUN TIGA HARI, KENAPA PARLIMEN TIDAK BOLEH? : Tun M.

96

KOTA KINABALU: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berjaya dilangsungkan selama tiga hari dengan mengambil langkah pencegahan wabak Covid-19 sepatutnya menjadi contoh untuk Dewan Rakyat turut bersidang seperti biasa.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, kuasa politik mendahului segala-galanya apabila wabak Covid-19 dijadikan alasan untuk Dewan Rakyat yang bersidang hari ini hanya untuk mendengar Titah Diraja tanpa ada perbahasan.

Tegas beliau, Dewan Rakyat sepatutnya menjadi gedung untuk berbahas tetapi disebabkan tiada perbahasan, maka institusi demokrasi itu kini boleh digelar sebagai gedung bisu.

“Saya berpendapat kami tidak dapat terima alasan kononnya alasan pandemik ini kita hanya bersidang dua jam sahaja, sedangkan di Sabah tiga hari mesyuarat lepas itu berapa banyak yang dapat sakit?

“Tetapi di Kuala Lumpur barangkali angin ini penuh dengan Covid-19 sebab itu tidak berani kalau kita bercakap keluar dari mulut, Parlimen ini gedung cakap, ini gedung bisu tidak boleh cakap ini menunjukkan pengakhiran kepada demokrasi di mana kita tidak boleh bercakap sebagai wakil rakyat,” katanya dalam sidang akhbar pimpinan Pakatan Harapan di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu hari ini, sidang Dewan Rakyat berjalan lancar, namun mencipta sejarah apabila hanya untuk mendengar Titah Diraja tanpa ada sebarang perbahasan.

Sidang tanpa perbahasan itu dibuat selepas Dewan Rakyat menerima usul dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan alasan mencegah penularan wabak Covid-19.

Pada 16, 20 dan 21 April lalu, DUN Sabah berjaya mengadakan persidangan selama tiga hari dengan mengamalkan langkah pencegahan ketat termasuk menghadkan jumlah individu kepada 50 orang serta penjarakan sosial.

Dr. Mahathir berkata, langkah pencegahan yang dilakukan di Dewan Rakyat hari ini juga cukup baik yang menggambarkan sidang Parlimen selama lapan hari sepatutnya boleh dilaksanakan jika kerajaan mahu meneruskannya.

“Aturan pada hari ini menunjukkan bahawa walaupun ada pandemik Covid-19 tetapi kita boleh adakan satu mesyuarat dengan cukup tertib kita masuk kita diperiksa ambil suhu basuh tangan, dua kali kena basuh tangan sebelum masuk dewan dan kita masuk dalam dewan kita duduk jauh daripada masing-masing sekurang-kurangnya jarak satu kerusi lebih semeter.

“Saya fikir kalau lepas ini ada jangkitan Covid-19 itu bukanlah kerana tiada usaha dan saya berpendapat bahawa kalau pun mesyuarat pada hari ini diteruskan sampai petang supaya kita dapatlah dalam Parlimen, Parlimen kita adalah gedung cakap, tetapi gedung cakap yang tidak boleh cakap dia tidak jadi gedung cakap lagi,” katanya.

Sumber : BorneoToday.net

Leave A Reply

Your email address will not be published.